RM500 je???........

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

       Selamat pagi, semalam penjawat pulang kerumah selepas bertugas secara majoritinya, tersengih dan gembira dengan pengumuman Perdana Menteri, Dato' Sri Najib berkenaan dengan pemberian duit raya (Bantuan Khas Kewangan) dan rata-rata berita tv menyiarkan benda yang sama pada awal berita.

       PM menunggu pada pertengahan puasa untuk mengumumkan perkara ini dan sebenarnya tidak menjadi keganjilan sebab tahun lepas PM mengumumkan pada 19 ramadhan, sebaliknya tahun awal sikit 15 ramadhan.

       Telah menjadi perbualan dan pelbagai tekaan sama ada adakah PM akan memberi duit raya khasnya, secara umumnya bonus pada tahun ini bukan saja daripada kakitangan awam bahkan kakitangan swasta juga ada yang tidak terlepas daripada membincang perkara yang sama. Tambahan pula kakitangan pekerja-pekerja bank telah mendapat durian runtuh mereka berserta juga dengan berita-berita mengenai ekonomi negara. Ada yang yang kata, "ekonomi dah ok boleh la bagi bonus" dan "bank pun boleh bagi bonus, xkan kerajaan tak boleh bagi".

       Bertitik tolak dari situ, ia mula menimbulkan kegusaran di kalanagan penjawat awam yang kemungkinan tidak diberi bonus untuk hari raya yang akan tiba nanti. Bermacam-macam komen panas mula dilepaskan di laman chat blog Cuepacs http://www.cuepacs.blogspot.com/, ada rayuan, penghinaan, makian dan tidak kurang yang cemuh-mencemuh. Ini adalah perkara biasa bagi penjawat-penjawat awam yang kecewa.

       Yang lebih menyedihkan ada yang mengherdik penjawat awam yang mendambakan bantuan bonus daripada kerajaan yang kononnya ingin berbelanja besar untuk sambutan raya aidilfitri. Bukan salah memberi nasihat, tetapi kadang-kadang terlebih bahasa seolah-olah menghina orang lain. Betul ada yang membazir dalam membuat persediaan tetapi dalam keadaan sekarang pada pemerhatian aku dah tak ada yang berbelanja sedemikian. Semua berkira-kira nak berbelanja. Nasihat ini kadang-kala sampai menimbul rasa bongkak kepada penasihat ini.

       Kita harus faham bahawa kita datang dari pelbagai latar belakang keluarga. Taraf ekonomi kita berbeza, ada datang dari keluarga yang memang dah mewah jadi tak timbul soal nak menolong ibu bapa dan adik-adik dikampung, jadi semua pendapatanya hanya untuk diri dia seorang saja tambah-tambah orang berpangkat atau bergred tinggi jadi tiada apa masalah baginya. Di bandingkan dengan mereka-mereka yang datang dari keluarga sedikit susah. Gaji mereka selain untuk diri sendiri tetapi untuk mambantu keluarga mereka dikampung-kampung ataupun di bandar-bandar, jadi di herdik dan dikutuk menambah kegusaran mereka ini. Sama juga bagi yang mempunyai anak-anak ramai.

        Pagi tadi air mata aku mengalir lagi dan kini bergenang kembali, murah air mata aku di bulan ramadhan kali ni, semasa memandu ke pejabat sambil mendengar saluran HOT FM. Lebih kurang lebih kurang dalam pukul 6.20 pagi, satu panggilan dari seorang gadis yang mengucapkan ribuan penghargaan terima kasih kepada PM dalam keadaan menangis teresak-esak, katanya semua bantuan ini adalah untuk adik-adik dan ibu bapa di kampung, biar dia tak berbaju raya janji adik-adik dan ibu bapanya dapat menyambut hari lebaran dengan berbaju raya. Ada orang kata apa sangat baju raya tu, tetapi bagi seorang anak tersebak hati bila melihat keluarganya berhari dalam keadaan sedemikian, bagi itu adalah satu sumbangannya untuk keluarganya. Air mataku tak tertahan...sebak. Cuba bayangkan anak-anak tanya, "ayah bila nak beli baju raya" ibu bapa tanya,"raya ni balik tak", serba salah nak jawab.

        Kepada yang suka mengherdik, mencaci dan mengutuk henti-hentikanlah, kalau kita tak memerlukan diam je lah, kesian kepada insan-insan yang amat memerlukan bantuan tersebut. Kadang-kadang kita bercakap pasal belanja berhemah kepada kawan-kawan kita, betul dan bagus nasihat tu, tapi kita tak tahu yang kawan kita ni amat memerlukannya, dia akan terasa hati yang amat walaupun mukanya masih tersenyum.


        Selepas semalam, laman Chat di blog Cuepacs masih panas seperti biasa, ada yang bersyukur dan berterima kasih kerana bantuan dan yang malangnya ada lagi yang masih menyumpah seranah, mengherdik orang lain dan mengutuk kerana bayaran RM 500 je......Tapi yang peliknya orang yang mengutuk dan menyumpah seranah ini adalah orang yang mengunakan nick yang sama yang dulu kononnya tak memerlukan bantuan ini untuk sambutan hari raya. Rupa-rupanya ada lagi insan-insan yang tak reti nak bersyukur, mencerca ini sebahagian dari hidup mereka. Kepada yang memerlukan belanjakanlah bantuan yang diberikan ini dengan sebijak-bijaknya renungkanlah..wallahulam.

* Maaf kiranya ada insan-insan yang tidak bersetuju dan mungkin terasa hati....salam ramadhan.

Ni aku copy Berita Harian Online:
Berita Harian

Oleh Alzahrin Alias
2010/08/26
KUALA LUMPUR: Kakitangan awam dan pesara menyifatkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 sempena Aidilfitri ini sebagai tanda prihatin kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat bagi membuat persiapan hari lebaran.
Kakitangan kerajaan, Saifuddin Jaafar, 31, berkata pemberian bantuan kewangan itu amat berbaloi dan kena pada masanya ketika rakyat sedang berjimat cermat berikutan kenaikan harga beberapa barang keperluan ketika ini. Memang bagus...kami yang setiap hari bekerja mengharapkan supaya wang ihsan ini dapat mengurangkan beban kami menyambut hari lebaran dan sekali gus meringankan beban kewangan semasa.
Gembira sangat, walaupun hanya RM500 diberikan. Namun, harapan kami supaya jumlah wang ihsan ini ditambah lagi pada masa akan datang, katanya di sini, semalam.
G Gunasilan, 30, yang juga kakitangan kerajaan mengakui pemberian sebanyak RM500 itu melegakan ramai golongan terutama yang berpendapatan rendah, berikutan peningkatan kos untuk menyambut hari raya.
Bantuan kewangan ini sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat Islam membuat persiapan membeli barangan keperluan menyambut raya. Walaupun saya bukan beragama Islam, atas dasar 1Malaysia saya tetap prihatin dengan keperluanrakan yang lain, katanya.
Pesara kerajaan, Aswad Tasman, 66, berkata pemberian wang ihsan itu sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban kewangan dan membolehkannya menyambut hari lebaran dengan selesa.Langkah ini untuk kebaikan semua dan dalam jangka panjang, yang mana pelbagai keperluan raya boleh dibeli dengan lebihan wang yang diberikan kerajaan ini, katanya.
Suri rumah Rakizah Ahmad, 49, berkata pemberian bantuan kewangan itu sebagai tanda prihatin kerajaan melakukan pembaharuan dalam pelbagai segi untuk kesenangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.Dengan suami saya seorang kakitangan kerajaan, pemberian wang ini sudah tentu juga memberi manfaat kepada seorang suri rumah seperti saya, katanya

Ni dari Blog Cuepacs:
PM umum lebih 1.24 juta penjawat awam, 590,000 pesara dapat RM500 sebelum 1 SyawalKUALA LUMPUR: Lebih 1.24 juta kakitangan awam dan 590,000 pesara kerajaan mendapat durian runtuh apabila Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan kerajaan akan membayar Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500, sebelum 1 Syawal. Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, keputusan membuat bayaran kepada kakitangan Gred 1 hingga 54 dan pesara kerajaan itu diambil selepas mengambil kira kebajikan mereka, terutama bagi meringankan beban kos persediaan menyambut Aidilfitri.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bayaran itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM934.6 juta, iaitu RM639.6 juta bagi kakitangan awam dan RM295 juta bagi pesara.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Persatuan Pesara Kerajaan berterima kasih kepada kerajaan kerana pemberian itu dapat meringankan beban mereka bagi menyambut Aidilfitri bulan depan. Presiden CUEPACS, Omar Osman, berkata pemberian itu sebagai bantuan sumbangan perayaan yang bakal menjelang. Kami sebelum ini memohon bonus sekurang-kurang RM1,000 atau dua bulan gaji kepada semua penjawat awam, katanya. Beliau berharap kerajaan mempertimbangkan bonus lebih tinggi pada pembentangan Bajet 2011, pada 15 Oktober depan. Setiausaha Agung CUEPACS, Ahmad Shah Mohd Zainber meminta kerajaan mengetatkan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga, peruncit dan pengedar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang apabila mendengar kerajaan memberikan bantuan khas itu. Kami berharap kerajaan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang menaikkan harga barang kerana tiada gunanya bantuan khas ini diberikan kepada kakitangan awam jika peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang, katanya. Presiden Persatuan Pesara Kerajaan, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawanteh, berkata pihaknya berpuas hati kerana kerajaan tidak meminggirkan pesara. Kita ucapkan terima kasih dan menghargai keprihatinan Perdana Menteri yang mana setiap kali pemberian bonus atau bantuan khas, kerajaan tidak melupakan pesara yang pernah berkhidmat kepada negara, katanya. Raja Wan Mahmood berkata, pemberian itu menunjukkan keprihatinan Najib terhadap golongan pesara, selain meringankan beban yang ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah.

1 ulasan: